fbpx

SAFWAN AMRAN

Perancang Kewangan Islam Pilihan Anda

Panduan Mencarum di Skim Persaraan Swasta

persaraan

Sudahkah anda merancang kewangan untuk bersara nanti? Pernahkah anda dengar tentang Skim Persaraan Swasta? Atau lebih popular dipanggil sebagai PRS (Private Retirement Scheme).

Kebanyakan orang muda jarang fikir pasal persaraan. Iya lah, masih muda lagi kan, lambat lagi nak bersara. Enjoy dulu. Ada yang kata entah-entah tak sempat bersara dah meninggal dahulu.

Kalau kita bekerja di sektor kerajaan, InsyaAllah ada skim pencen dari KWAP. Kalau yang bekerja swasta/sendiri, adakah duit KWSP kita itu 100% cukup untuk bersara nanti?

Simpanan KWSP semata-mata tidak cukup untuk rakyat Malaysia hidup selesa selepas bersara.

Statistik daripada KWSP mengatakan bahawa 64% daripada rakyat Malaysia yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

Jumlah ini hanya boleh bertahan lebih kurang 4.5 tahun sahaja untuk perbelanjaan harian, itu pun kalau tidak boros melampau.

Sebuah kajian daripada United Nation (UN) mengatakan kebanyakan rakyat Malaysia tidak bersedia untuk bersara kerana tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.

Di bawah pula merupakan statistik daripada Lembaga KWSP berkenaan dengan status simpanan KWSP rakyat Malaysia.

skim persaraan

Seram pula bila baca semua statistik ini.

Tapi jangan terus panik dan risau. Masih sempat lagi untuk kita merancang.

Pada tahun 2012, Skim Persaraan Swasta (Private Retirement Scheme- PRS) telah diperkenalkan untuk menggalakkan orang ramai membuat skim persaraan sendiri bagi menambah baik simpanan persaraan mereka.

Apakah itu Skim Persaraan Swasta (Private Retirement Scheme – PRS) ?

Skim Persaraan Swasta ini merupakan skim persaraan secara sukarela untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Ini juga antara salah satu cara untuk ‘boost’ simpanan persaraan anda. Anda juga boleh dapat pelepasan cukai tahunan sebanyak RM3,000 jika mencarum ke dalam skim ini.

Pengeluaran penuh pula hanya dibenarkan apabila anda berumur 55 tahun (umur pencen), supaya tidaklah anda keluarkan duit masa zaman muda. Pengeluaran duit dari Akaun B pula akan dikenakan penalti 8% sekiranya belum cukup umur 55 tahun.

Skim ini dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, jadi anda tak perlu ragu-ragu dah.

PRS ini sama ke dengan KWSP?

Ia seakan-akan serupa dengan KWSP tapi sebenarnya tak sama. KWSP ada Akaun 1 dan 2 dengan pecahan 70:30 dari caruman. PRS pun sama cuma dipanggil Akaun A dan B.

KWSP adalah wajib jika bekerja manakala PRS adalah secara sukarela.

Kemudian, PRS pula dikendalikan secara persendirian tanpa jaminan pulangan yang tetap. KWSP pula adalah milik kerajaan dan pulangan agak konsisten sekitar 5.96% setahun.

Jadi berapa jumlah yang perlu saya carum dalam Skim Persaraan Swasta ni?

Jawapan bagi persoalan di atas adalah subjektif.

Cuba tanya diri sendiri , berapa banyak simpanan yang anda mahukan selepas bersara nanti untuk kehidupan yang selesa?

Kalau ikut ‘rule of thumb’, kita akan menggunakan sekurang-kurangnya 67% daripada jumlah gaji terakhir bulanan kita untuk hidup selesa selepas persaraan.

Jadi, untuk mencapai tahap keselesaan ini, kita perlu menyimpan sekurang-kurangnya 33% daripada pendapatan bulanan kita.

Sekiranya anda bekerja di sektor swasta, anda sudah pun menyumbang 11% + 12% (caruman majikan) kepada akaun KWSP anda. Ini bermakna anda hanya perlu membuat tambahan 10% untuk mencapai simpanan bulanan 33%.

Bagaimana saya nak mula mencarum di PRS?

Mudah sahaja.

Langkah pertama yang perlu anda lakukan adalah memilih penyelia PRS yang sedia ada. Kemudian, pilih dana yang anda berminat. Setiap penyelia PRS mempunyai dana yang berbeza untuk umur, risiko dan peruntukan yang berbeza . Jangan lupa juga untuk check management fees yang dikenakan.

Nak cara lagi mudah?

Anda cari sahaja konsultan PRS berlesen untuk mulakan caruman anda.

Ada tak alternatif lain untuk ‘boost’ simpanan persaraan saya?

Anda boleh juga boleh laburkan sebahagian Akaun 1 KWSP anda di Unit Trust atau di pelaburan mandat (Private Mandate). Anda boleh baca di artikel saya di sini.

Disclaimer: Penulisan di blog ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi daripada penulis. Sebarang maklumat dan pendapat penulis tidak mewakili mana-mana syarikat atau agensi kecuali dinyatakan sebaliknya. Pemilik tidak menanggung sebarang liabiliti atas apa jua kejadian, kerugian, kecacatan mahupun kes perundangan membabitkan penulisan di blog ini.

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


error: Pengisian blog ini dilindungi !!