SAFWAN AMRAN

Perancang Kewangan Islam Pilihan Anda

Perkara Penting Bila Nak Buat Dokumen Wasiat

dokumen wasiat

Dokumen wasiat adalah amat penting untuk kita sediakan semasa kita masih sihat walafiat.

Banyak masalah-masalah dalam pengurusan harta pusaka berlaku akibat tiada dokumen pewarisan atau pun dokumen wasiat yang tidak lengkap.

Berikut adalah 4 elemen yang utama dalam penyediaan dokumen wasiat / pewarisan:

1. Lantik AJK Pusaka

AJK Pusaka mudah fahamnya adalah pentadbir atau pemegang amanah. Bila kita meninggal dunia, kita kena pastikan ada pihak yang bertanggungjawab untuk uruskan harta kita.

Apa implikasi jika tak melantik AJK Pusaka?

Waris perlu bermuafakat dan berbincang untuk melantik seorang untuk menjadi pentadbir pusaka arwah.

Susah tak nak dapatkan muafakat waris?

Bergantung kepada kes, ada yang mudah, ada yang bertahun-tahun masih tak tahu apa itu pentadbir.

Bila kita dah lantik AJK pusaka, urusan untuk dapatkan surat kuasa menjadi mudah sebab tak perlu libatkan muafakat waris.

Pentadbir terus boleh dapatkan gran probet untuk buat tuntutan pusaka.

Walaubagaimanapun, pentadbir perlulah dilantik dalam kalangan yang betul-betul amanah.

2. Sediakan dana pantas

Apa itu dana pantas?

Dana pantas adalah asset cair yang waris boleh tuntut tanpa melalui proses dapatkan surat kuasa. Contohnya, KWSP yang berpenama, Tabung Haji berpenama dan takaful berpenama.

Kebanyakan yang berlaku bagi kes pusaka terbeku adalah atas faktor kos. Waris tidak mampu untuk tampung kos urus pusaka.

Ya, nak urus pusaka bukan percuma, ada kos yang perlu disediakan.

Ada waris yang mampu sekalipun, kemungkinan tak sanggup untuk keluarkan wang sebab risau tak boleh tuntut dari hak waris lain.

Ada juga kes yang tersalah urus. Dana pantas yang dapat terus diagih secara faraid tanpa buat urusan pencairan harta lain.

Contoh kes yang pernah berlaku, penama KWSP adalah ibu.

Si ibu langsung terus agih kepada adik beradik arwah tanpa agih kepada si balu dan anak-anak.

Apabila nak urus aset tak alih yang lain, wang yang sepatutnya digunakan untuk bayar kos urus sudah habis dibelanjakan.

Berapa kos urus pusaka yang perlu disediakan?

Secara kasarnya sekitar 5 ke 10% dari jumlah nilai pusaka jika tiada dokumen wasiat.

3. Buat dokumen bertulis, bertarikh dan bersaksi

“Kami adik beradik okay saja kalau amaun Tabung Haji arwah mak beri kepada ayah. Tapi takda hitam putih, ralat juga kami nak lepaskan hak.”

Ini antara dialog yang client ceritakan kepada saya semasa nak urus pusaka arwah ibunya.

Nampak tak kepentingan buat dokumen?

Kita buat dokumen pewarisan supaya ada bukti pentadbir kita sendiri yang lantik, jadi tiada pertikaian nak lantik siapa untuk urus pusaka nanti.

Dalam dokumen tersebut juga ada senarai aset dan hutang. Tiada lagi isu harta tersorok yang akhirnya tidak dapat dimanfaatkan.

Senarai hutang pula, mudah untuk pentadbir dan waris langsaikan dahulu sebelum pusaka diagih secara faraid.

Ada satu kes arwah tak buat wasiat, waris sampai kena tunggu surat tunggakan dari bank semata-mata nak tahu hutang arwah.

Kasihan roh arwah dalam kubur, hutangnya masih tak selesai.

Bila dokumen itu ada tarikh dan saksinya, mudah urusan untuk dapatkan gran probet sekiranya ada pertikaian dalam kalangan waris.

Hanya perlu panggil saksi untuk buat afidavit.

Tambahan pula, dalam dokumen inilah kita boleh sampaikan hasrat dan pesanan untuk harta kita ini diagih ke mana, nak buat wasiat sedekah bagi tujuan amal jariah dan hasrat-hasrat lain.

waris bergaduh
Jangan biarkan waris-waris anda bergaduh selepas pemergian anda akibat dari tiada dokumen wasiat / pewarisan. Gambar hiasan.

4. Lantik pakar

Inilah antara elemen yang paling penting dalam perancangan pewarisan.

“Tanah kubur arwah masih merah, engkau dah sibuk nak urus pusaka.”

Ini adalah contoh taboo bila seseorang waris sampaikan hasrat untuk percepatkan urus pusaka si mati. Walhal, memang sepatutnya urusan itu dipercepatkan.

Situasi mungkin akan berbeza sekiranya ada pakar yang datang berjumpa dengan waris, buat kaunseling, nyatakan hasrat si mati melalui dokumen dibuat dan ‘sekolahkan’ waris. Jadi, urusan pusaka dapat dimulakan dengan cepat.

Mandi jenazah, kita upah orang untuk mandikan.

Gali kubur, kita upah penggali kubur.

Kenduri tahlil, kita panggil orang masjid dan pelajar tahfiz.

Duit bukan isu dalam hal-hal tersebut. Tetapi bila bab urus pusaka, kenapa kita pilih untuk urus sendiri?

Pandailah waris nanti uruskan?

Kenapa taknak buat persediaan dengan melantik pakar? Fikir-fikirkanlah.


Di atas ini hanyalah asas-asas dalam kita merancang pusaka kita. Jangan biarkan waris-waris kita bertelagah dan bergaduh apabila kita sudah tiada.

Semoga pemergian kita tidak akan menjadi punca retaknya hubungan silaturrahim keluarga kita.

Disclaimer: Penulisan di blog ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi daripada penulis. Sebarang maklumat dan pendapat penulis tidak mewakili mana-mana syarikat atau agensi kecuali dinyatakan sebaliknya. Pemilik tidak menanggung sebarang liabiliti atas apa jua kejadian, kerugian, kecacatan mahupun kes perundangan membabitkan penulisan di blog ini.

Facebook Comments

error: Pengisian blog ini dilindungi !!