fbpx

SAFWAN AMRAN

Perancang Kewangan Islam Pilihan Anda

Isteri Sebagai Penama KWSP Bolot 100% – Salah Faham Tentang Tugas Penama

penama kwsp

Suami letak nama saya sebagai penama KWSP, milik saya sepenuhnya lah kan? Jadi saya gunalah buat belanja.

Arwah suami letak nama ibunya sebagai penama KWSP, saya ada bahagian ke?

“Duit simpanan KWSP mak milik Along semuanya. Mak kan letak nama Along sebagai penama”

Perkara di atas antara contoh salah faham orang awam berkaitan penama.

Penama sebenarnya bukan pemilik mutlak sesuatu aset yang berpenama. Penama hanyalah sebagai pemegang amanah untuk harta yang dinamakan. Besar tanggungjawabnya.

Kelebihan buat penamaan ini supaya dapat cairkan harta tanpa melalui proses undang-undang yang renyah yang melibatkan kos-kos tertentu untuk dapatkan surat kuasa mentadbir, gran probet atau letter of administration (LA).

Apakah tanggungjawab sebenar penama atau nama lainnya wasi/pemegang amanah?

  1. Membayar kos pengebumian termasuklah kos urus pusaka bagi asset lain
  2. Menjelaskan hutang arwah sama ada hutang Allah dan hutang dengan makhluk
  3. Melaksanakan wasiat si mati sekiranya ada.
  4. Mengagih ikut faraid atau muafakat.

Apa yang biasa berlaku adalah, sejurus selepas dapat wang KWSP, waris yang dinamakan terus agih ikut faraid.

Ada yang lagi dahsyat, nafikan hak waris-waris lain yang berhak, makanlah dia dari sumber yang bathil dan haram.

Ibu nafikan hak menantu dan cucu-cucunya. Isteri nafikan hak ayah dan ibu. Anak yang baru berumur 18 tahun nafikan hak saudara-saudara dan tidak langsaikan hutang ayah. Itulah antara realiti kes yang pernah berlaku dengan isu penamaan KWSP.

Ingat, sewaktu penama isi borang permohonan tuntutan kematian ahli KWSP (boleh rujuk di sini untuk tuntutan KWSP jika berlaku kematian) , itu adalah tanda yang penama setuju untuk menjadi pemegang amanah dan akan tertakluk kepada Akta Pemegang Amanah.

Akta ini terpakai juga untuk penamaan di harta lain seperti Tabung Haji, takaful, unit trust, saham koperasi dan sebagainya.

borang tuntutan kwsp penama
Contoh borang permohonan tuntutan kematian ahli di laman web utama KWSP

Jika didapati pecah amanah, waris yang berhak boleh dakwa penama atas kes pecah amanah. Tetapi itulah, sama ada tahu atau tidak prosesnya, atau pun sanggup atau tidak nak sumbat ahli keluarga sendiri ke penjara.

Sekiranya anda dilantik sebagai penama, pastikan anda tahu tugas anda, jalankan amanah dan tanggungjawab sebaiknya demi menjaga silaturrahim sesama keluarga dan mendapat keberkatan. InsyaAllah.

Disclaimer: Penulisan di blog ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi daripada penulis. Sebarang maklumat dan pendapat penulis tidak mewakili mana-mana syarikat atau agensi kecuali dinyatakan sebaliknya. Pemilik tidak menanggung sebarang liabiliti atas apa jua kejadian, kerugian, kecacatan mahupun kes perundangan membabitkan penulisan di blog ini.

Facebook Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


error: Pengisian blog ini dilindungi !!