SAFWAN AMRAN

Perancang Kewangan Islam Pilihan Anda

Adakah Anda Selamat Daripada Penipuan Kad Kredit?

penipuan kad kredit

Masalah penipuan kad kredit /debit semakin hari semakin berleluasa di Malaysia, lagi-lagi apabila sistem pembayaran cashless bakal diperluaskan.

Tahukah anda bahawa Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar kes penipuan kad kredit yang tinggi di dunia?

Mudah untuk kita menyalahkan mangsa penipuan kerana kurang bijak menilai situasi.

Ramai antara kita merasakan bahawa warga tua lebih mudah menjadi mangsa penipuan. Tetapi sebenarnya, sesiapa pun boleh menjadi mangsa.

Berdasarkan statistik pada tahun 2017, golongan millennial adalah 6 kali lebih mudah untuk memberikan maklumat kad kredit mereka kepada orang luar tanpa rasa ragu-ragu.

Mungkin kerana mereka sudah terbiasa berkongsi maklumat peribadi sensitif mereka di social media dan internet, maka ramai yang tidak alert apabila mereka bakal menjadi mangsa penipuan.

Berikut adalah antara contoh – contoh modus operandi penipuan kad kredit yang pernah berlaku:

Kisah 1 : Amir di restoran

Amir pergi makan-makan di sebuah restoran francais yang terkenal dengan ayam bakar yang sedap dan lazat.

Selesai makan, Amir minta bil dari pelayan untuk bayar makanan. Tanpa sebarang syak wasangka, Amir berikan kad kreditnya kepada pelayan.

Tak sampai 5 minit lepas tu, pelayan datang bawa resit dan kad kredit kepada Amir. Selalunya, Amir akan simpan terus je resit dan kad kredit dia.

Tapi, entah kenapa kali ini terdetik untuk check kad kredit beliau.

Barulah Amir perasan yang kad kredit dia sebenarnya dah ditukar.

Walaupun adalah dari bank yang sama tetapi kad itu bukan kepunyaannya. Kad kredit itu telah tamat tempoh dan adalah kepunyaan orang lain.

Nasib baik Amir perasan. Dia pun terus memberitahu kepada management restoran tersebut atas kesilapan mereka.

Kisah 2 : Encik Chong berhutang RM95,000?

Encik Chong mendapat satu panggilan daripada pegawai bank mengatakan bahawa dia mempunyai baki hutang kad kredit sebanyak RM95,000.

Setelah berbual lama, pegawai tersebut berjaya meyakinkan Encik Chong agar segera membuat pembayaran ke akaunnya untuk mengelakkan terkena tindakan yang serius dari bank.

Encik Chong dengan segera memasukkan duit berjumlah RM95,000 ke akaun yang diberikan kerana takut dan panik akan dikenakan tindakan.

Semuanya sudah terlambat apabila Encik Chong merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Dia sepatutnya perlu hubungi bank terlebih dahulu untuk memastikan apakah dia memang mempunyai hutang berjumlah sebegitu.

Rupa-rupanya, dia telah menjadi mangsa penipuan sindiket kad kredit.

Kisah 3 : Lina menang pakej pelancongan!

Lina baru sahaja berjaya memiliki kad kredit setelah memohon beberapa minggu yang lalu.

Tiba-tiba, Lina mendapat satu panggilan daripada pusat pelanggan bank yang mengeluarkan kad kredit kepadanya.

Lina diberitahu bahawa dia adalah pemegang kad bertuah dan ditawarkan pakej pelancongan dan insurans yang percuma!

Untuk menerima tawaran tersebut, Lina diarahkan untuk memberikan nama penuh, nombor kad pengenalan dan tarikh luput kad kreditnya.

Dia juga diminta membacakan nombor kad kredit berserta tiga digit nombor terakhir di belakang kad berkenaan.

Pihak bank kemudian berjanji akan menghubungi Lina semula dalam tempoh terdekat mengenai tawaran yang diberikan.

Lina sudah pun berangan untuk bercuti di tepi pantai setelah memenangi pakej pelancongan percuma.

Sebagai seorang pengguna baru kad kredit, Lina tidak mengesyaki apa-apa.

Dia hanya tersedar yang dia menjadi mangsa setelah tawaran yang dijanjikan tidak kunjung tiba dan mendapati terdapat transaksi pengeluaran wang tanpa pengetahuan ketika menyemak penyata akaun bank di hujung bulan.


Kisah-kisah di atas adalah contoh kisah benar penipuan kad kredit. Makin lama makin kreatif cara penipuan sindiket ini, sampaikan anda tidak dapat menjangka bahawa anda telah ditipu!

5 teknik penipuan kad kredit yang biasa berlaku:

  • Kecurian – kad kredit anda dicuri
  • Panggilan telefon atau SMS – anda mendapat panggilan atau SMS dari seseorang yang berpura-pura menjadi pegawai bank, pihak berkuasa atau seseorang yang anda kenali
  • Hacking – telefon atau komputer anda dijangkiti virus atau malware yang menghantar maklumat peribadi anda termasuk butiran kad kredit kepada hackers.
  • Data breach – hackers mencuri data dari syarikat di mana anda merupakan pelanggan
  • Phishing – anda menerima e-mel palsu atau akses ke laman web yang mencurigakan, kemudian anda diminta untuk memasukkan maklumat peribadi atau maklumat kad kredit.

Bagaimanakah cara untuk melindungi diri anda daripada menjadi mangsa?

Simpan kad kredit atau debit kad anda di tempat yang selamat

Jaga kad anda sebaiknya. Sekiranya anda sedar kad anda telah dicuri, segeralah membuat panggilan ke bank anda untuk ‘block’ kad anda secepat mungkin.

Jangan sesekali kongsikan maklumat kad kredit atau debit melalui telefon atau SMS

Pegawai bank jarang sekali akan meminta maklumat peribadi, lagi-lagi meminta nombor kad anda kerana mereka sudah pun mempunyai data anda.

Elakkan memberi maklumat peribadi anda di laman internet

Jangan sesekali upload gambar atau maklumat kad kredit anda di social media.

Ya, kad kredit baru anda memang cantik, ada gambar pasukan bolasepak kegemaran anda. Tetapi tidak perlu upload di social media kerana ia bakal menjadikan anda menjadi mangsa seterusnya.

Mudah kerja scammer!

Pastikan anda membuat transaksi online di website yang selamat

Shopping online memang seronok, klik-klik sahaja barang sampai rumah. Tetapi, pastikan anda beli di website yang secured dan selamat.

Semak penyata kad kredit/debit dengan kerap

Rajin-rajinlah semak penyata anda, janganlah sudah berbulan-bulan baru anda perasan ada transaksi yang mencurigakan.

Tidak salah untuk menjadi paranoid dan mengambil langkah berhati-hati daripada anda menangis menanggung kerugian beribu-ribu ringgit.

Dijangkakan akan lebih banyak penipuan seperti ni bakal berlaku di masa hadapan akibat dari kebangkitan revolusi industri keempat dan sistem pembayaran cashless.

Lebih banyak transaksi cashless dan online menyebabkan lebih ramai yang akan orang terdedah dengan penipuan sebegini.

Anda pernah menjadi mangsa penipuan kad kredit?

Kongsikan cerita anda di ruangan komen supaya lebih ramai orang yang dapat mengetahui dan ambil pengajaran daripada kisah anda.

Kisah anda mungkin dapat membantu orang lain daripada menjadi mangsa seterusnya.

Disclaimer: Penulisan di blog ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi daripada penulis. Sebarang maklumat dan pendapat penulis tidak mewakili mana-mana syarikat atau agensi kecuali dinyatakan sebaliknya. Pemilik tidak menanggung sebarang liabiliti atas apa jua kejadian, kerugian, kecacatan mahupun kes perundangan membabitkan penulisan di blog ini.

Facebook Comments

error: Pengisian blog ini dilindungi !!