fbpx

SAFWAN AMRAN

Perancang Kewangan Islam Pilihan Anda

Carseat Wajib 2020 – Membebankan kewangan ibubapa?

Carseat Wajib

Bermula 1 Januari tahun depan, carseat wajib digunakan oleh semua kanak-kanak di Malaysia demi meningkatkan keselamatan mereka dalam kereta.

Pelaksanaan undang-undang carseat wajib ini adalah satu pendekatan yang baik, di samping dapat memberi kesedaran kepada para ibu bapa tentang kepentingan carseat untuk keselamatan anak-anak dalam kereta.

Kenapa penggunaan ‘Carseat’ itu penting?

Kemalangan kereta adalah antara punca utama kematian dan kecederaan serius dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Tetapi dengan penggunaan carseat, risiko kematian dalam kemalangan dapat dikurangkan sebanyak 54%.

https://www.spinalcord.com/blog/the-importance-of-car-seat-safety-to-prevent-injuries

Jom kita tonton video dari MyWatch untuk lihat perbandingan keselamatan anak kecil ketika memakai carseat atau tidak.

Jika anda perasan, kelajuan kerusi dalam video di atas adalah perlahan, mungkin tidak sampai 60km/j pun! Tapi impaknya sudah cukup kuat untuk mendatangkan kecederaan yang serius.

Memegang bayi di atas pangkuan juga adalah salah satu kesilapan biasa yang dilakukan oleh kebanyakan ibu bapa kerana cara ini  langsung tidak melindungi anak anda sekiranya berlaku kemalangan.

Bonus: Penggunaan carseat juga antara salah satu cara untuk mengajar anak lebih berdisiplin. Bila anak duduk dalam carseat, dia dapat belajar duduk dengan diam dan sedikit sebanyak anda dapat memandu kereta dengan tenang.

Statistik-statistik penting yang perlu anda tahu

Statistik ini diambil dari Amerika Syarikat kerana mereka sudah lama melaksanakan undang-undang wajib carseat di negara mereka.

  • Pada tahun 2011, lebih daripada 650 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang meninggal dunia akibat kemalangan yang melibatkan kenderaan bermotor.
  • Untuk setiap 34 saat ,seorang kanak-kanak di bawah umur 13 tahun terlibat dalam kemalangan kereta.
  • Lebih 1,700 kematian dan 840,000 kecederaan dalam kalangan kanak-kanak setiap tahun akibat kemalangan kenderaan.

Cara pilih carseat yang sesuai untuk anak

Sekarang mungkin kita sudah tahu kepentingan menggunakan carseat. Dengan pelbagai jenis model dan jenama carseat di luar sana, sudah pasti amat memeningkan ibubapa untuk memilih carseat yang sesuai untuk anak kita.

Ini adalah sedikit guidelines untuk kita memilih carseat.

pemilihan carseat wajib
pemilihan carseat wajib

Sekiranya anda masih perlukan bantuan atau nasihat mengenai pemilihan carseat mengikut bajet anda dan cara penggunaan carseat yang betul, anda boleh rujuk di Child Passenger Safety Malaysia.

Anda juga boleh mohon untuk masuk ke Facebook Group Malaysian Carseat Support Group (support group ini sangat mesra dan amat membantu ibubapa yang ingin tambah ilmu penggunaan carseat).

Namun begitu, ramai juga ibu bapa yang merungut dengan perlaksanaan undang-undang baru ini.

Antara masalah-masalah yang banyak dihadapi oleh mereka adalah:

  • Mempunyai anak yang ramai, tetapi kereta yang kecil

Keluarga yang mempunyai anak melebihi 3 orang mempunyai masalah untuk menggunakan carseat sepenuhnya. Untuk membeli kereta baru yang besar, harganya bukannya murah.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, amat sukar untuk mereka upgrade ke kereta yang lebih selesa.

  • Harga carseat yang agak mahal

Bagi keluarga yang berpendapatan rendah, harga carseat yang mencecah ratusan ringgit, terutamanya carseat yang mengikut spesifikasi undang-undang adalah agak membebankan mereka.

  • Orang luar (saudara-mara, kawan-kawan, jiran tetangga, etc) tidak dapat tumpang kereta kerana kereta penuh dengan carseat

Cadangan solusi:

Berikut adalah antara cadangan untuk menyelesaikan permasalahan di atas:

  • Beri kelonggaran bagi keluarga kurang kemampuan di awal perlaksanaan undang-undang

Ramai ibubapa yang masih terkejut dan tidak sempat untuk menabung demi membeli carseat untuk anak, mungkin kelonggaran boleh diberi.

Pihak berkuasa mungkin boleh memberikan amaran terdahulu sebelum kenakan saman.

  • Utamakan anak yang paling kecil

Bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, boleh utamakan untuk membeli carseat bagi anak yang paling kecil, misalnya bayi dan anak-anak berumur bawah 6 tahun.

Perlu diingatkan penggunaan carseat adalah perlu sehingga umur 12 tahun.

Bagi keluarga yang mempunyai anak bawah dari 3 orang, mungkin tiada masalah kerana kebanyakan model kereta membenarkan 2 carseat installation.

  • Beli kereta MPV second-hand atau sewa kereta MPV
Contoh kenderaan yang boleh memuatkan banyak carseat (Sprinter Van Mercedes Benz)

Buat mereka yang masih ingin memiliki kereta MPV yang luas, mungkin boleh survey kereta second hand. Harganya adalah lebih murah berbanding kereta brand new.

Atau anda juga boleh menyewa kereta MPV sekiranya anda perlu membawa kesemua anak-anak anda, jadi bolehlah semua menggunakan carseat.

Jangan lupa rujuk model kereta apa yang boleh install carseat yang banyak. Anda boleh rujuk di Facebook Group Malaysian Carseat Support Group.

  • Beri pelepasan cukai untuk pembelian carseat

Mungkin selepas ini kerajaan boleh beri pelepasan cukai untuk ibubapa bagi pembelian carseat? Kan bagus kalau begitu.

  • Cari alternatif pengangkutan lain bagi orang luar yang ingin menumpang

Pada mereka yang sudah dewasa matang, mungkin boleh naik public transportation atau tumpang kereta orang lain yang tiada anak kecil.

Adakah anda sanggup merisikokan keselamatan anak kecil demi menumpang kereta mereka?


Pada pendapat saya, pelaksanaan undang-undang carseat wajib ini adalah baik untuk keselamatan anak kecil di jalan raya.

Mungkin di awal perlaksaan ramai yang membantah kerana merasakan ianya adalah beban yang berat.

Tetapi, suatu hari nanti mungkin kita akan berterima kasih dengan carseat apabila anak-anak kita terselamat daripada kecederaan yang serius semasa di dalam kereta jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Keselamatan anak juga merupakan amanah dan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa.

Disclaimer: Penulisan di blog ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi daripada penulis. Sebarang maklumat dan pendapat penulis tidak mewakili mana-mana syarikat atau agensi kecuali dinyatakan sebaliknya. Pemilik tidak menanggung sebarang liabiliti atas apa jua kejadian, kerugian, kecacatan mahupun kes perundangan membabitkan penulisan di blog ini.

Facebook Comments

1 thought on “Carseat Wajib 2020 – Membebankan kewangan ibubapa?

Comments are closed.

error: Pengisian blog ini dilindungi !!