- 4 Perkara yang Wajib Anda Faham Sebelum Ambil Medical Card - June 21, 2023
- Apa itu Unit Trust (UT)? - March 7, 2023
- Apa itu Equity Crowd Funding (ECF)? - November 25, 2022

Pernahkah anda terfikir untuk berhenti kerja demi mengejar impian untuk berbisnes atau bekerja sendiri?
Kerja di pejabat, rutin harian yang sama sahaja. Stress pula dengan tekanan daripada majikan ataupun rakan sekerja.
Kalau sudah berkeluarga, perlu juga ambil kira masa dengan keluarga dan macam-macam lagilah masalah.
Masa ini, dunia bisnes dan angan-angan untuk bekerja sendiri tampak begitu indah sekali. Berkobar-kobar rasanya nak berhenti kerja.
Ramai orang jadi kaya disebabkan sumber pendapatan daripada berbisnes, tetapi ramai juga yang jatuh miskin akibat daripada berniaga tanpa ilmu dan persediaan yang sepatutnya.
Sebelum anda buat keputusan untuk berhenti kerja, ambil kira dulu beberapa perkara di bawah.
5 Perkara Yang Perlu Diambil Kira Sebelum Berhenti Kerja
1. Pastikan Simpanan Kita Mencukupi
Ini adalah perkara yang paling asas. Selepas berhenti kerja, kita tidak dapat pastikan bila kita akan dapat steady income lagi untuk tampung perbelanjaan bulanan kita.
Seelok-eloknya asingkan wang simpanan peribadi, kecemasan dan modal untuk perniagaan.
Jangan kita habis laburkan semua simpanan untuk bisnes, takut-takut kalau bisnes tak menjadi, terus melingkup kita.
Simpanan peribadi dan kecemasan seeloknya ada lebih kurang 6 bulan – 1 tahun daripada pendapatan bulanan kita semasa kerja.
Modal bisnes pula bergantung pada jenis perniagaan nak diceburi.
2. Perancangan yang teliti
Sebelum nak berhenti kerja, tanya dulu soalan pada diri:
- Apakah cara untuk dapatkan sumber pendapatan yang lebih kurang sama dengan income bulanan kita semasa kerja?
- Jenis perniagaan apa yang kita nak ceburi?
- Modal yang perlu kita keluarkan untuk mulakan bisnes?
- Komitmen bulanan (hutang, belanja rumah, etc) yang sedia ada?
- Berapa lama agaknya bisnes kita boleh bertahan? (Ada sesetengah bisnes jenis ‘hit & run’ , keuntungan ikut musim dan trend)
- Berapa anggaran keuntungan bulanan dari bisnes kita? Apa cara untuk kita capai target tersebut?
Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu kita pertimbangkan. Sebelum berhenti kerja, seeloknya kita sudah ada gambaran tentang bisnes kita.
Lagi bagus kalau kita sudah pun jalankan bisnes secara part time semasa kita masih bekerja supaya kita sudah tahu sedikit selok-belok dalam bisnes.
3. Cari mentor dalam bidang perniagaan
Kenapa kita perlu ada mentor dalam bisnes?
Ini adalah untuk mengelakkan kita membuat kesilapan-kesilapan mudah orang baru dalam perniagaan.
Memang kesilapan akan mengajar kita supaya lebih berhati-hati, tapi kalau ada peluang untuk tidak buat silap, bukankah lebih bagus?
Mentor juga boleh tambah networking kita dan memudahkan kita untuk kembangkan perniagaan.
4. Belajar ilmu kewangan
Ini adalah perkara yang paling-paling utama.
Ramai orang pandai menjual, tetapi tidak pandai nak uruskan wang.
Ada seorang pakcik kenalan saya, kerjanya memang berniaga selepas berhenti kerja.
Masa mula-mula berniaga, modal memang banyak. Tapi, dia langsung tak pandai urus duit hasil perniagaannya.
Tak buat rekod jual beli langsung, bak kata memang kalau ada duit masuk dari bisnes dia, memang dia akan belanja sakan.
Sudahnya, selepas 2 tahun bisnes makanan dia melingkup walaupun nampak sudah maju. Rupa-rupanya duit pusing modal pun dia belanjakan.
Selepas itu dia buat bisnes lain pula, modal dapat dari loan bank. Tapi sama juga, selepas 2 tahun melingkup dek kerana enggan belajar cara urus wang dengan betul.
Ini antara kisah -kisah yang biasa kita dengar.
Ramai tidak mahu laburkan sedikit duit untuk dapatkan ilmu kewangan walaupun ilmu inilah yang akan menyelamatkan dan melindungi anda.
Sekarang banyak sifu-sifu kewangan bertauliah yang rajin kongsikan ilmu mereka secara percuma, hanya kita hendak belajar atau tidak sahaja.
5. Exit Plan / Emergency Plan
Apa perancangan awal kita sekiranya bisnes melingkup atau berlaku musibah? Mahu kerja semula atau teruskan perniagaan?
Pernah diceritakan kepada saya, seorang kenalan yang mempunyai perniagaan membekalkan bahan mentah untuk produk kosmetik.
Dia menyimpan bahan-bahan mentah (bahan kimia) di dalam sebuah gudang yang disewa di sebuah kilang.
Malang tidak berbau, gudang itu terbakar.
Lebih malang lagi, dia tidak ambil insurans perlindungan kebakaran untuk gudangnya itu walaupun pernah ditawarkan beberapa kali.
Kerugian yang dialami mencecah hingga ratusan ribu ringgit.
Nasiblah dia masih ada simpanan kecemasan untuk perniagaan dia. Jadi masih mampulah untuk tamping kerugian semula walaupun ambil masa juga untuk bangkit semula.
Tapi dia rasa menyesal sangat sebab tidak ambil insurans kebakaran tersebut.
Ada banyak lagi faktor yang boleh sebabkan bisnes kita jatuh, antaranya kemalangan, kebakaran, dianiayai orang dan sebagainya.
Apakah pelan kita untuk menghadapi situasi sebegini? Bagaimana untuk kita bangun semula?
Baca kisah inspirasi: Kisah Jutawan Sandwich Thailand Yang Berjaya Bangun Semula Selepas Perniagaan Jatuh Teruk
Tips-tips di atas bukan sahaja terpakai untuk orang yang pasang angan-angan untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, tetapi juga untuk semua.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang kurang stabil sekarang, kita tak tahu bila dan ada kemungkinan juga kita akan hilang pekerjaan dan steady income.
Nasihat saya, buatlah simpanan dari sekarang dan belajarlah ilmu kewangan supaya kita lebih bersedia.
Cari masa juga untuk belajar skill-skill kehidupan yang lain seperti bertukang, memasak, menjahit, mengimpal besi dan sebagainya supaya kita boleh gunakan skill ini di hari mendatang untuk jana pendapatan.
Disclaimer: Penulisan di blog ini adalah pandangan dan pengalaman peribadi daripada penulis. Sebarang maklumat dan pendapat penulis tidak mewakili mana-mana syarikat atau agensi kecuali dinyatakan sebaliknya. Pemilik tidak menanggung sebarang liabiliti atas apa jua kejadian, kerugian, kecacatan mahupun kes perundangan membabitkan penulisan di blog ini.